Wasiat Raja Haji Fisabilillah kepada Umat MELAYU
>> Tuesday, December 16, 2014
Ketahuilah olehmu wahai umat Melayu, peperangan ini bukanlah
peperangan orang-orang Bugis. Tetapi ini adalah peperangan untuk mengembalikan
maruah dan kehormatan sekalian diri orang-orang Melayu yang telah dipijak-pijak
oleh penjajah Belanda laknatullah.
Akan tetapi Belanda
itu telah mencanangkan bahawa aku dan sekalian orang Bugis tidak berpuas hati
dengan pengagihan hasil rampasan tembakau dari Kapal Betsy kepunyaan Perancis
yang menceroboh Selat Melaka itu.
Adapun kita adalah orang-orang Melayu yang beriman kepada
Allah Taala juga menyakini bahawa peristiwa itu hanyalah asbab yang telah
menyatukan orang-orang Melayu dari Teluk Ketapang, Selangor, Rembau dan dari
Batang Tiga untuk menghambat Belanda keluar dari Punggor, Duyung, Pernu,
Semabok, Ujung Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir, Bukit Cina, Tanjung Keling dan
Tengkera sebelum kita berkubu di Teluk Ketapang.
Orang Serani, Cina dan India turut bergabung dengan kita
dalam peperangan ini. Kini Gabenor Belanda menjadi seperti tikus dikejar naga
berkubu di Kota Melaka. Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja.
Yakni dengan kata lain, peperangan ini adalah untuk
mengembalikan tanah, udara, air dan laut yang telah dirampas oleh penjajah
kepada orang-orang Melayu yang sudah beratus tahun membina kehidupan, membina
kota dan pelabuhan di tanah air ini.
Jikalau terdapat satu pun kampung, daerah, kota dan
pelabuhan yang terbakar dan ditawan oleh penjajah, maka seluruh orang Melayu di
seluruh kampung, daerah, kota dan pelabuhan wajiblah bangun menentang dan
menghalau mereka.
Sesungguhnya orang-orang Melayu itu bersaudara dan kita
tidak akan kalah dalam mana-mana peperangan pun, jika kita bersatu padu di
jalan Allah. Syahadan untuk kita bersatu di jalan Allah bukanlah suatu perkara
yang mudah. Ia bagai mengepal pasir yang kering. Syaitan adalah musuh yang
nyata sama ada yang terang-terang terlihat pada mata kasar mahupun yang
berselindung di sebalik hati manusia.
Terbukti kebenaran wahyu sejak kakiku berjejak di
Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Bangka,
Pontianak, Mempawah dan negeri-negeri Melayu yang lain. Telah
bersungguh-sungguh aku membantu meleraikan persengketaan yang berlaku sesama
sendiri dan mematahkan muslihat penjajah laknatullah. Mana dapat dibuat damai,
maka damailah yang kumeterai.
Mana yang berkehendakkan peperangan, maka peperanganlah yang
kupimpin kerana sudah dua ratus tahun lebih kita masih dijajah bahana berebutkan
kuasa yang tidak habis-habisnya, saling berhasad dengki dan bersubahat dengan
musuh. Yang ruginya rakyat jelata. Tanah diambil, hasil diperas dan tubuh
diperhamba.
Maka pada hari ini, tanggal 19 Rejab 1198 Hijrah bersamaan
dengan 17 Jun 1784, di Tanjung Palas Teluk Ketapang inilah warkah yang
tertulis. Warkah ini kutulis di atas sejadah, mengadap kiblat dalam keadaan
berwuduk setelah selesai solat dan doa panjang untuk sekalian umat Melayu.
Al-Quran di sebelah kananku. Kitab Dalilul Khairat di sebelah kiriku. Badik
pusaka di pinggangku.
Sungguhpun demikian, aku amat menyedari bahawa terdapat di
kalangan armada perang Melayu yang aku satukan dan pimpin ini terdapat golongan
Melayu yang menjadi musuh dalam selimut. Berwajah Melayu berhati Belanda.
Usahlah ditanya
bagaimana aku mengetahuinya kerana tahu di angin turun naiknya. Apabila Allah
mengkehendaki terjadi sesuatu perkara, maka tiadalah siapapun yang dapat
mengelakkannya. Biarkan sahaja mereka menyelinap ke dalam kubu kami dan
mengepung aku. Syak fasik, yakin salih; batulah yang jadi juadah! Nah, wahai si
munafik! Aku sesekali tidak pernah takut kepada kalian.
Marilah kita berdepan sebagai seorang lelaki Melayu yang
sejati! Engkau kendonglah panji perjuanganmu. Aku junjung panji perjuanganku!
Nyawa kita di tangan Allah. Matiku di medan perang ini, tandanya sentiasalah
aku hidup di sisi Allah Taala. Matimu di medan perang ini, tandanya celakalah
engkau di akhirat kelak.
Seyogia, ketahuilah saudaraku. Walau apapun yang terjadi
kepadaku janganlah dimungkirkan kafiat jalanku ini kerana ia akan hanya
mengulangi kekhilafan malaikat apabila Allah menyatakan kehendak-Nya mahu
menciptakan manusia untuk dijadikan khalifah di atas muka bumi yang akan ada di
kalangan manusia saling menumpahkan darah. Janganlah kita lupa pengakuan azali
kita di depan Allah.
Janganlah kita
melupai ilmu yang Allah ajarkan secara langsung daripada sisi-Nya kepada kita.
Kerana dengan itulah kita, manusia ini, dibangga-banggakan Allah di hadapan
para malaikat-Nya, kata Allah ‘Sudah kunyatakan bahawa aku lebih mengetahui
daripada apa yang kamu tahu.’
Allah Maha Besar!
Andai aku mati di medan perang ini akan berlanjutan fitnah demi fitnah yang
tidak habis-habis, menghujani orang-orang Melayu di sepanjang sejarah akan
datang. Manusia Melayu munafik, pengkhianat, pendengki dan petualang akan
sentiasa muncul di kalangan kalian sebagai semut hitam yang melata di atas batu
hitam pada waktu malam, tanpa bulan dan bintang.
Akan ada di kalangan kalian, Melayulah juga ia, yang akan
menyambung lidah Belanda menuduh aku berjuang dan berperang kerana mabukkan
harta dan kuasa. Sesungguhnya moyang poyangku para Opu Daeng Lima Bersaudara
bukanlah mahu disanjung-sanjung dan dimegah-megah. Memadailah kukatakan apa
yang kami inginkan ialah bangsa kita umat Melayu ini hidup bermaruah dan
mempunyai kehormatan diri.
Maka Maha Adillah
Allah Taala sebagaimana terdapat golongan yang munafik dan petualang bangsa,
akan ada golongan di kalangan umat Melayu sesudah kami ini yang akan menyambung
perjuangan kami. Mereka menyambut panji perjuangan kami dengan penuh harga
diri. Dalam hati merekalah aku hidup dan menjadi cita-cita mereka pula mati
kerana berjuang.
Semangat mereka menyerupai kami, walaupun bilangan mereka
tidaklah seramai golongan munafik dan petualang. Mereka berani mati sehinggalah
si petualang bangkit daripada sujud tatkala imam dan jemaah masih bersujud,
lalu ditancamkan pisau di belakang antara mereka. Maka sesekali tidak
mengundang gundah kerana apabila sudah datang janji Allah, maka syahid lah dia.
Jika yang ditikam itu masih terus hidup, maka dia akan
menjadi saksi kepetualangan si munafik tersebut, lalu mudahlah dicam dan
diberkas seketika itu juga. Maha Besar Allah Yang Awal dan Yang Akhir.
Ketahuilah wahai saudaraku.
Bahawasanya umat Melayu tidak akan sesekali ghaib daripada
muka bumi ini yang Allah telah takdirkan gunung, dataran, sungai, kuala, selat
dan lautan untuknya. Semuanya akan diwariskan Allah kepada raja yang adil lagi
saksama dan pembesar yang mukmin dan mukminat untuk memerintah.
Maka Allah mengurniakan rahmat dan berkat daripada tujuh
petala langit dan tujuh petala bumi dan semua penduduk bumi dan langit
mendoakan kesejahteraan bagi segenap isi negeri. Sesungguhnya akan tibalah pada
hari dan zaman itu orang-orang Melayu semuanya akan bersatu dan sanggup mati di
jalan Allah.
Mereka bersedia berperang dengan musuh daripada belahan
dunia mana sekalipun. Kota-kota mereka terbina daripada peradaban ilmu yang
dihiasi dengan mutiara kebijaksanaan. Ulama dan cendikiawan diterima sebagai
penasihat ulil amri. Para ahli sufi terbebas daripada fitnah ajaran sesat dan
batil.
Rakyatnya cukup makan
dan untung berniaga, tanpa ada penindasan dan perampasan. Kaum-kaum lain
mendapat naungan dan jaminan keadilan sehingga taat dan setia mereka tidak
berbelah bahagi lagi. Zaman makmur itu akan tiba juga apabila hak-hak Allah
dipenuhi. Hak-hak rakyat dilaksanakan. Peraturan-peraturan mereka ditimbang
dengan syariat dan disukat dengan adat. Syahadan, ketahuilah olehmu wahai
saudaraku. Ingatlah bahawa ranting yang akan melenting, dahan yang akan
mencucuk dan duri yang akan mengait.
Justeru tetapkanlah waspada sebagai pengawal di pintu
gerbang zaman makmur. Bulan terang paksa baik: payang ke laut, baluk pun ke
laut juga. Runtuhnya zaman makmur kerajaan Melayu sebelum ini adalah kerana
raja dan pembesarnya sudah ada biduk, tetapi serempu pula. Lalu timbullah
perebutan, hasad, iri hati dan sengketa.
Kalau rakyatnya pula suka menuntut piutang lapuk. Ditelan
kemewahan dilambung mabuk. Ada juga yang menjadi seperti itik bertaji.
Tandanya, keris tersisip di dinding, pedang tajam dalam sarungnya sahaja. Musuh
yang nyata disetiakawankan. Manakala sesama sendiri sanggup ‘berjuang’ hingga
memancung leher.
Kesudahan mereka adalah dengan suul khatimah kerana lekat
pada ingatan mereka akan harta dan kuasa yang terlepas daripada tangan.
Dipamerkan pula tempatnya di neraka jahanam, wa nauzubillah. Itulah jihad di
jalan syaitan adanya. Benarlah, ujian-ujian daripada Allah turun bersama-sama
zaman makmur.
Maka jika kita alpa
dan lalai diri dengan melakukan kegiatan dan perbuatan yang dilarang Allah,
maka tunggulah bala bencana daripada tujuh petala bumi dan tujuh petala langit
bertali arus menimpa umat Melayu itu. Ya Allah menitis pula air mataku.
Ketahuilah bahawa aku tidak pernah menitiskan air mata sebagai seorang lelaki
Melayu berhati kecut. Tetapi air mataku ini mengalir apabila memikirkan anak
cucu cicit yang terkemudian hari.
Apalah pula ujian dan
balanya; apalah pula sengketanya; apalah pula pengkhianatannya; apalah pula
penyelewengannya dan apalah pula kesudahannya. Segala ribut badai perasaanku
menyatu bersama ingatan terhadap junjungan nabi kita ketika saat-saat
sakaratulmaut menjelang, telah terucap di mulutnya yang mulia ‘umatku, umatku,
umatku!’ Aduhai Nabi kekasih Allah! Ingatlah pada zaman manapun kalian berada
sentiasalah berselawat ke atas nabi dan beramal dengan sunnah-sunnahnya kerana
itulah penyelamat agung penyedar daripada alpa dan lalai, pengikis sifat
munafik dan menghidupkan jiwa.
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada
awalnya
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad. pada
akhirnya.
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada
setiap ketika.
Tatkala sampai di baris ini, aku sedang melihat berpuluh
kapal perang armada Belanda pimpinan Peter van Braam dari Betawi itu, sudahpun
tiba di pantai. Demi Allah, yang hidup dan matiku hanyalah di tangan-Nya,
sedikitpun aku tidak berasa gentar, apatah lagi untuk berundur walau seinci pun
ke belakang kerana kuyakini Allah sentiasalah ada bersamaku dengan panji
janji-Nya dan panji kebenaran-Nya. Biarlah luka di dada jangan luka di
belakang.
Rencana si munafik itu sampailah ke kemuncaknya apabila
mereka dapat masuk menyelinap ke dalam kubuku, merampas pemurasku yang
disandarkan ke dinding, maka ketika itu sampailah ilham daripada Allah
kepadaku.
Bahawa aku kini hanya ada sebilah badik tersisip di pinggang
dan hijap yang terangkat antara aku dengan Tuhanku. Seraya langsung aku
memanjatkan doa, “Ya Allah sesungguhnya aku telah dizalimi dan dikhianati.
Aku bentangkan ke
hadrat-Mu seluruh pengharapan-Mu dengan segala fakir dan hina diriku, Engkau
jadikanlah warkahku ini terhijab daripada pandangan mata setiap munafik dan
musuh-musuhku serta Engkau peliharakanlah warkahku ini hingga sampai ke hujung
zaman agar dapat dibaca dan ditilik oleh anak cucu cicit kami pada kemudian
hari.
“Ya Allah. Tidak
sampai hati mahu ku pinta celaka untuk segolongan Melayu yang bersubahat dengan
penjajah itu. Ya Allah jadikanlah anak cucu cicit kami di kemudian hari berjuang
dan berperang dengan lebih berani dan gagah di jalan-Mu.
Ya Allah tempat aku juga di sisi kekasih-Mu, Rasulullah yang
aku rindui dan cintai segenap hatiku sekiranya aku gugur di jalan-Mu Ya Allah.
Sungguh Engkau Maha Mengabulkan doa.” Tatkala itu munafik-munafik itu mahu
menangkap aku yang masih bertimpuh di atas sejadah.
Namun demikian dengan kuasa Allah Taala segala sendi pada
tubuh mereka, terkunci kaku seperti patung adanya. Maka bingkaslah aku daripada
duduk lalu aku pandang satu persatu wajah-wajah Melayu munafik itu. Benarlah,
peluru perak pemecah kubu yang kuat. Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat
yang diadang.
Tiada gunanya lagi
kata-kata kerana perut tidak bertelinga. Sesudah itu berjalanlah aku menuju ke
muka kubu dan tersergamlah kapal perang penjajah laknatullah itu pada
pandanganku. Inilah Raja Haji yang kalian cari-cari. Syarak yang mengata, adat
yang memaksa. Dengan badik di tangan kanan dan Dalilul Khairat di tangan kiri,
lidahku berwiridkan selawat.
Bammm!!!
Bunyi bedilan sebuah meriam daripada salah sebuah kapal
Belanda yang muncungnya dihala ke batang tubuhku, bergema ke udara. Ah! Sungguh
beruntung pengkhianat itu kerana dapat menyaksikan lagi kuasa Allah apabila
peluru lela rentaka meletup di dalam lubangnya sendiri, lalu terpelantinglah
askar Belanda berselerak di atas kapal dan sebahagiannya pula jatuh ke dalam
laut.
Beranak pinaklah pula bunga-bunga api membakar kapal perang
itu. Panglima Perang Belanda Peter van Braam nyatalah amatlah terkejut adanya.
Bertambah maraklah lagi semangat jihad yang menjulang-julang dalam dada
pejuang-pejuang Melayu.
Bertambah amuklah mereka hingga berkecamuk barisan penembak
pasukan askar Belanda itu. Lantas bertafakurlah aku apabila melihat keadaan
itu. Aku berserah sepenuhnya kepada Allah untuk menetapkan apa jua
keputusan-Nya.
Beberapa ketika kemudian dapatlah aku ilham daripada-Nya
seraya aku bermohon, “Ya Allah aku berserah kepada-Mu seluruh jiwa dan ragaku.
Aku rela syahid Ya Allah di jalan-Mu, daripada kehormatanku
dan kehormatan umat Melayu ini dipijak-pijak oleh penjajah laknat ini setelah
ditipudayakan oleh petualang daripada bangsa kami sendiri.” Arakian Panglima
Perang Belanda itu sendiri segera menyalakan sumbu ubat bedil merim lela
rentaka yang muncungnya dihalakan tepat ke dadaku.
Bammm!!!
Maka sampailah janji Allah. Mencurahlah darah daripada
dadaku. Jasadku rebah ke tanah. Tiada Tuhan Melainkan Allah. Maka
terpinga-pingalah para munafik dan petualang apabila melihat askar penjajah
memijak-mijak batang tubuhku, membakar al-Quran dan Dalilul Khairat. Badikku
pula dilemparkan ke dalam laut. Pecahlah kapi, putuslah suai. Datanglah
masyghulku, tetapi seketika itu juga difahamkan Allah kepadaku bahawa itulah
tanda-tanda doaku yang telah dimakbulkan Allah.
GLOSARI:
• Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja =
Orang yang serba salah kerana melanggar perjanjian.
• Bagai mengepal pasir yang kering = Kesukaran menyatukan
perbezaan pandangan tahu di angin turun naiknya, tahu tentang alamat tentang
peristiwa yang bakal terjadi.
• Syak fasik, yakin
salih; batulah yang jadi juadah = Yakin maksud tercapai.
• Ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk dan
duri yang akan mengait = Halangan dan rintangan dalam sesuatu usaha.
• Bulan terang paksa baik: payang ke laut, baluk pun ke laut
juga = Dalam zaman kemakmuran semua orang berlumba-lumba mencari keuntungan.
• Sudah ada biduk,
tetapi serempu pula = Berebut kuasa.
• Menuntut piutang lapuk = Melakukan sesuatu yang sia-sia.
•
Itik bertaji = Sangat penakut tetapi sombong.
• Keris tersisip di
dinding, pedang tajam dalam sarungnya = Perbuatan yang pandir.
• Biarlah luka di dada jangan luka di belakang = Biar alah
kerana melawan jangan alah kerana melarikan diri.
• Peluru perak pemecah kubu yang kuat = Kerana duit semuanya
dibongkarkan
• Sungguh kawat yang
dibentuk, ikan ditebat yang diadang = Tipu muslihat yang tersembunyi demi
mencari keuntungan diri.
• Perut tidak bertelinga = Nasihat yang tidak akan
diturutkan
• Syarak yang mengata, adat yang memaksa = Syarak dan adat
tidak dapat dipisahkan • Pecahlah kapi, putuslah suai = Sesuatu yang tidak
dapat dibaiki lagi (sejarah) dan menanggung malu teramat sangat.
dipetik dari brahammickel.blogspot