Abu Jahal dan Abu Lahab selalu memikirkan bagaimanakah cara untuk
membunuh Nabi Muhammad saw.Tiba-tiba Abu Jahal teringat kepada seorang
Raja Syam yang bernama Raja Habib Bin Malik.Mereka pun mula merancang
untuk membunuh Nabi saw melalui Raja Habib yang terkenal bengis dan
zalim itu.
Mereka pun menghantar sepucuk surat jemputan kepada Raja Habib ,
mengundangnya ke Mekah.Raja Habib pun bersetuju setelah dijanjikan
sambutan dan layanan istimewa dari pembesar Quraisy itu lalu berangkat
ke Mekah dengan seribu orang pengawal.Abu Jahal dan semua pembesar
Quraisy menyambut kedatangan Raja Habib dengan penuh rasa gembira dan
mereka pun memberikan pelbagai jenis hadiah yang mahal kepada Raja
Habib.Raja Habib pun ditempatkan di Abthah.
Selepas itu Abu Jahal pun memulakan rancangan jahatnya iaitu mula
mengadu masalah yang dihadapi oleh penduduk Mekah dan memohon jasa baik
Raja Habib untuk membantu mereka.Abu Jahal pun mengadu bahawa Nabi
Muhammad saw telah mengaku menjadi pesuruh Allah dan membawa satu agama
baru dan kononnya telah menghina Tuhan Tuhan yang disembah mereka sejak
nenek moyang mereka lagi.Mereka mengadu bahawa Nabi Muhammad saw akan
membawa perpecahan dan kekacauan di Mekah jika terus dibiarkan begitu
sahaja.
Raja Habib pun memerintahkan supaya Nabi Muhammad saw datang
mengadapnya.Pada mulanya pemergian Nabi saw ditentang oleh Abu Bakar dan
isterinya Khadijah kerana Raja Habib memang terkenal sebagai seorang
Raja yang zalim, namun setelah Nabi saw meyakinkan mereka bahawa Allah
akan melindunginya, maka mereka pun berangkat mengadap Raja Habib.Nabi
Muhammad saw telah memakai jubah yang berwarna merah dan memakai serban
yang berwarna hitam.
Setelah terpandang wajah Nabi saw yang mulia, hati Raja Habib yang
terkenal dengan sikap yang bengis itu tiba-tiba menjadi lembut, lalu
mempersilakan Nabi saw duduk disebelahnya.
Raja Habib pun mula bertanya : “Wahai Muhammad,benarkah seperti apa
yang telah saya dengar bahawa kamu telah mengaku menjadi pesuruh
Tuhan?”. Jawab Nabi saw “memang benar”. Raja Habib bertanya lagi :
“Siapa Tuhan kamu?” .”Allah” jawab Nabi saw.
“Sekiranya kamu seorang Nabi, sudah tentu kamu juga mempunyai
mukjizat seperti Nabi –Nabi yang lain sebelum kamu” kata Raja Habib.Lalu
Nabi saw pun bertanya, “Apa yang tuan mahukan?”
“Saya mahu melihat perkara pelik yang belum pernah terjadi, sekiranya
kamu seorang Nabi sudah tentu kamu mampu melakukannya”.
Lalu Nabi saw
menjawab : “Dengan izin Allah,pasti terjadi”
“Saya mahu matahari terbenam sebelum waktunya.Kemudian bulan terbit
lalu turun ke bumi.Bulan itu terbelah dua lalu masuk kedalam pakaian
kamu.Bulan itu akan keluar dari lengan baju kanan dan baju kiri
kamu.Kemudian bercantum semula menjadi bulat di atas kepala kamu dan
bulan itu mengucapkan syahadah membenarkan kenabian kamu kemudian
kembali ketempat asalnya diangkasa.Bulan itu terbenam.Kemudian matahari
terbit kembali dan keadaan seperti biasa.”.Kata Raja Habib.
“Sekiranya Muhammad tidak boleh melakukannya, tuan bawa dia balik ke
Syam ataupun bunuh saja” Kata Abu Lahab dengan penuh perasaan jahat
bercampur gembira kerana beliau yakin Nabi saw tidak mampu melakukan
perkara yang rumit itu.
“Sekiranya berlaku seperti yang tuan mahukan, apakah tuan akan beriman kepada Allah ?” Tanya Nabi saw kepada Raja Habi pula.
“Ya, barulah saya percaya kamu adalah pesuruh Allah”.jawab Raja Habib.
Nabi Muhammad saw pun mendaki Bukit Kubai yang tidak jauh dari Kaabah lalu berdoa kepada Allah swt .
Malaikat Jibril pun datang membawa Firman Allah lalu memberitahu Nabi saw :
“Wahai kekasihKu,janganlah engkau takut dan janganlah engkau bersedih
hati kerana Aku bersamamu dimana pun engkau berada.Aku sudah mengetahui
sejak mula apa yang diminta oleh Habib.Pergilah kepada mereka ,
tunjukkan ayatKu.Bentangkan secara terang dan tegas
risalahmu.Ketahuilah, yang Aku sudah menempatkan matahari,bulan,malam
dan siang di bawah perintahmu.Dan ketahuilah yang anak perempuan Habib
akan Aku sembuhkan daripada penyakit lumpuh dan kedua-dua matanya yang
buta sudah pulih semula”
Tiba-tiba berlakulah peristiwa ajaib yang belum pernah dilihat oleh
manusia dan penduduk Mekah sebelum itu.Matahari dengan perlahan bergerak
ke ufuk barat lalu terbenam.Cahaya siang bertukar menjadi malam.Selepas
itu bulan pun terbit lalu terbelah dua.Bulan yang terbelah itu pun
turun lalu masuk kedalam jubah Nabi Muhammad saw.Kemudian bulan yang
terbelah itu pun keluar dari lengan baju kanan dan kiri Nabi Muhammad
saw dan bercantum semula di atas kepala Nabi saw sambil mengucap dua
kalimah syahadah, iaitu mengaku Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan
Muhammad itu pesuruh Allah.Kemudian bulan pun bergerak ke tempat asalnya
lalu terbenam di ufuk barat.Matahari pun terbit semula lalu suasana
menjadi seperti sediakala.Raja Habib dan orang ramai kagum dengan
kejadian itu.
Abu Bakar bertakbir apabila menyaksikan mukjizat Rasulullah saw
itu.Selepas itu Nabi saw pun turun dari Bukit Kubais lalu menemui Raja
Habib.
“Ketahuilah wahai Raja Habib , anak perempuan kamu yang sakit telah
sembuh dari penyakitnya dan matanya yang buta telah dapat melihat
semula” Kata Nabi Muhammad saw kepada Raja Habib.
Raja Habib pun terkejut kerana tidak ada sesiapun yang tahu penyakit
anaknya itu iaitu lumpuh dan matanya buta kecuali orang-orang istana dan
mereka yang dekat dengannya sahaja.Dia merasa gembira lalu berkata :
“Wahai seluruh penduduk Kota Mekah,tidak ada kekafiran sesudah
beriman.Ketahui yang saya percaya tidak ada Tuhan kecuali Allah dan
mengaku Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya”.Selepas itu Raja Habib dan
seribu orang pengawalnya telah memeluk islam, namun Abu Jahal dan Abu
Lahab masih terpinga-pinga,marah dan masih tidak mendapat hidayah!
Raja Habib pun terus pulang ke Syam bersama pengawalnya tanpa
menghiraukan Abu Jahal dan Abu Lahab.Setibanya di Syam, anak gadisnya
yang lumpuh dan buta sedang berdiri menunggu dihadapan istana sambil
mengucapkan kalimah syahadah.Raja Habib pun bertanya dari manakah
anaknya itu belajar mengucap itu, lalu anaknya menjawab :
“Saya bermimpi didatangi oleh seorang pemuda yang mengatakan bahawa
ayah telah memeluk islam dan saya akan sembuh daripada penyakit bila
mengucap kalimah syahadah.Maka saya ucapkannya didalam mimpi.Bila bangun
dari tidur, saya dapati penyakit saya sudah sembuh dan mata saya sudah
dapat melihat semula” jawab anak gadisnya itu.
Raja Habib pun bersujud tanda kesyukuran kepada Allah swt.Sebagai
tanda ucapan terima kasih kepada Nabi Muhammad saw, Raja Habib pun
mengirimkan hadiah berupa emas,intan dan permata yang banyak sehingga
perlu dibawa oleh 5 ekor unta!
Bila utusan Raja Habib sampai ke Mekah, maka Abu Jahal pun mendakwa
hadiah itu adalah untuk dirinya, tetapi telah dinafikan oleh pengawal
utusan Raja Habib bahawa semua hadiah itu adalah untuk Nabi Muhammad
saw.Suasana menjadi kecoh dan menarik perhatian ramai bila Abu Jahal
menuduh pengawal utusan itu sudah terkena sihir Muhammad.
Bila mengetahui hal tersebut Nabi Muhammad saw pun pergi ke tempat
itu.Abu Jahal yang tamak haloba itu masih mendakwa hadiah itu adalah
untuk dirinya dan pembesar Quraisy yang lain.
Abu Sufian bertanya orang ramai siapakah yang boleh menjadi pengadil
dalam hal itu, lalu Nabi saw pun mencadangkan agar bertanya kepada unta
yang membawa hadiah itu sendiri.
Abu Jahal pun bersetuju, maka tempoh sehari diberikan lalu Abu Jahal
pun balik menyembah dan memohon pertolongan dari berhala al-Latta dan
al-Uzza bagi mendapatkan harta dari Raja Habib itu.
Bila tiba hari pengadilan, maka bertanyalah Abu Jahal kepada unta itu :
“Wahai unta, atas nama tuhan-tuhanku, al-Latta , al-Uzza dan
al-Manata, beritahu kami untuk siapakah hadiah yang kamu bawa ini?” .
Unta itu senyap dan tidak menjawab walaupun telah ditanya oleh Abu Jahal
berulang-ulang kali sehingga beliau sendiri naik jemu dan penat.
Maka tibalah giliran Nabi Muhammad saw bertanya kepada unta itu pula :
“Dengan izin Allah,maka berkata-katalah wahai unta, untuk siapakah barang-barang yang kamu bawa ini?”
Lalu salah seekor dari unta itu pun menjawab “Kami membawa barang
barang ini sebagai hadiah daripada Raja Habib bin Malik untuk Nabi
Muhammad saw”. Selepas mendengar kata-kata unta itu, orang ramai sekali
lagi terpegun dan Abu Jahal pun terpaksa mengalah.
Selepas itu Nabi saw menyuruh Abu bakar dan sahabat-sahabatnya
membawa kesemua barang itu naik keatas Bukit Kubais.Selepas itu Nabi saw
pun berdoa kepada Allah swt agar semua emas, permata, intan berlian itu
agar menjadi tanah.Dengan izin Allah, dalam sekelip mata semua barang
itu bertukar menjadi tanah!
Itulah serba sedikit kisah seorang Raja yang mendapat hidayah,
walaupun baginda berada jauh di Syam, tidak mempunyai pertalian keluarga
dengan Nabi saw , namun selepas ditunjukkan bukti mukjizat Nabi
Muhammad saw , baginda terus beriman kepada Allah swt dan Rasulnya,
sedangkan Abu Jahal, Abu Lahab dan beberapa orang pembesar Mekah masih
tertutup pintu hatinya untuk islam dan beriman kepada Allah swt walaupun
telah diperlihatkan berpuluh-puluh kali mukjizat oleh Nabi Muhammad
saw. Itulah nikmat iman dan hidayah….
Semuanya anugerah Tuhan…ianya
tidak boleh dijualbeli, tidak boleh dipaksa dan tidak boleh ditiru oleh
sesiapa, kecuali kepada mereka yang dikehendaki olehNya jua.Sumber cerita:http://www.apesal.com
Read more...